Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Felda Taib Andak, di sini, sebagai hab pengeluaran madu kelulut di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Tosrin Jarvanthi berkata ini adalah kerana, industri madu kelulut dilihat berpotensi besar untuk dimajukan di kawasan tanah rancangan Felda itu.

Untuk menjadikan rancangan itu satu realiti, setiap peserta akan diberi kursus dan juga latihan selama dua minggu bermula bulan hadapan

"Melalui usaha ini, setiap rumah di sini akan dibekalkan sekurang-kurangnya satu sarang kelulut.

"Setakat ini, kita juga telah mengumpulkan seramai 25 peserta yang juga merupakan pengusaha kelulut dari sekitar daerah Kulai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Permai itu berkata usaha bagi menjadikan Felda Taib Andak yang mempunyai lebih 5,000 penduduk itu sebagai hab pengeluaran madu kelulut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sementara itu, Tosrin berkata pihaknya sedang melihat kawasan-kawasan tanah yang kosong milik agensi kerajaan negeri untuk dibangunkan dengan menanam durian.

"Antara kawasan sedia ada adalah daerah Mersing, jenis durian pula kita akan ambil jenis yang asli bukan musang king dan sebagainya," kata Tosrin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sama ada kerajaan negeri mempertimbangkan mengenai menanam lebih banyak durian di Johor memandangkan terdapat peningkatan terhadap permintaan durian bukan sahaja dalam negara tapi dari luar negara.

-- BERNAMA